Home / Panduan / 4 Perkhidmatan VPN Percuma Terbaik untuk dicuba

4 Perkhidmatan VPN Percuma Terbaik untuk dicuba

Menggunakan VPN dapat melindungi ruang privasi anda sewaktu sedang berada di atas talian. Tambahan pula dengan keadaan isu pemantauan internet dari pihak-pihak tertentu menambahkan lagi paranoid pengguna hari ini dan menjadikan penggunaan perkhidmatan VPN semakin popular. Anda boleh rujuk kelebihan dan bagaimana VPN berfungsi melalui artikel ini, ini dan ini.

Terdapat banyak perisian-perisian yang membolehkan anda menggunakan perkhidmatan VPN, baik yang percuma mahupun yang berbayar.  Untuk artikel ini, saya akan menceritakan serba sedikit berkenaan beberapa perkhidmatan VPN yang boleh digunakan secara percuma.

Sungguhpun tawaran percuma yang disediakan oleh sesetengah perkhidmatan ini agak terhad, namun ia dapat memberikan anda kelebihan dan pengalaman menggunakan VPN sewaktu di atas talian. Berikut adalah antara perkhidmatan VPN yang menawarkan sebahagian pakejnya secara percuma yang popular;

Hotspot Shield Free

Bagi anda yang kerap menggunakan talian Wi-Fi awam secara kerap, Hotspot Shield Free merupakan VPN percuma yang baik untuk melindungi privasi anda.

Anda diberikan pilihan untuk memilih salah satu dari 20 buah negara untuk ditetapkan bagi pengguna yang membayar untuk menggunakan Hotspot Shield Elite, versi berbayar perkhidmatan ini. Berbeza dengan versi percuma, pengguna hanya dihadkan untuk ditempatkan pada satu lokasi sahaja berdasarkan pilihan yang ditetapkan oleh Hotspot Shield.

Hotspot Shield Free turut menawarkan pilihan untuk membolehkan VPN diaktifkan secara automatik apabila pengguna menyambungkan ke rangkaian tanpa wayar yang dirasakan ‘kurang selamat’.

Prestasi sewaktu penggunaan atas talian sedikit terganggu apabila Hotspot Shield diaktifkan. Namun, dengan had bandwidth pada 750MB setiap hari, ia mungkin masih boleh dimaafkan lagi.

TunnelBear

Perkhidmatan ini mempermudahkan anda untuk melindungi identiti anda sewaktu berada di atas talian. Sungguhpun rekaannya kelihatan seperti keanak-anakan, perkhidmatan yang ditawarkannya bukan pula jenis yang kecil-kecil anak.

Pengguna ditawarkan pilihan untuk menggunakan perkhidmatannya secara percuma atau yang berbayar. Bagi pengguna percuma, had trafik yang dibenarkan hanyalah pada 500MB untuk setiap bulan. Kuantiti ini dianggap terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kadar penggunaan internet hari ini.

Prestasi yang ditawarkan olehnya agak lancar serta antaramuka dan konfigurasinya pula adalah mesra pengguna. Tambahan pula, tetapan secara automatiknya pun sudah memadai untuk membolehkan ianya berfungsi dengan lancar. Pun begitu, pengguna masih lagi dibenarkan untuk memilih mana-mana 20 lokasi yang boleh dijadikan sebagai ‘negara angkat’ sewaktu di atas talian.

VPNBook

Perkhidmatan ini disediakan secara percuma dan agak lain dari pakej-pakej perkhidmatan VPN percuma yang lain kerana pengguna tidak perlu untuk mendaftar dan setakat ini tiada had penggunaan ditetapkan. VPNBook hanya menyokong penggunaan OpenVPN dan PPTP tunneling sahaja.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini tidak membenarkan trafik-trafik torrent dan P2p kerana ia hanya membenarkan penggunaan dua jenis protokol yang berlainan.

Selain itu, perisian kliennya boleh digunakan pada platform Windows, peranti mudah alih dan juga PlayStation 3.

SecurityKISS

VPN dari Ireland ini mengutamakan konsep ringkas tetapi berkesan sebagaimana yang diterapkan pada nama syarikat itu sendiri, KISS (Keep it Smart & Simple atau boleh jadi ‘Keep it Simple, Stupid!). Tetapi agak janggal juga apabila melihat pada pakej-pakej berbayar yang ditawarkannya bergantung dengan tempoh langganan di antara 1, 3, 6 atau 12 bulan yang kelihatan rumit.

Sungguhpun begitu, penawaran yang disediakan untuk pakej percumanya wajar diberikan perhatian. Untuk 300MB sehari serta tidak perlu untuk mendaftar memudahkan pengguna-pengguna yang jarang-jarang menggunakan VPN. Pakej percuma ini, selain dari had maksima 300MB, ia juga tidak membenarkan aktiviti penstriman dan juga akses ke klien emel.

Akhir kata

Tahap pemahaman cara penggunaan VPN adalah berbeza di antara pengguna-pengguna. Ada yang mudah faham dan ada juga yang merasakan ianya agak rumit. Penawaran pakej percuma di kalangan penyedia-penyedia perkhidmatan VPN ini diharapkan dapat membantu pengguna memahami dan mempelajari ilmu VPN tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge