Home / Internet / Apakah perbezaan di antara 4G dan LTE

Apakah perbezaan di antara 4G dan LTE

Bila anda mencari telefon pintar baru untuk dibeli, singkatan-singkatan seperti CDMA, 3G, GSM, LTE, UMTS, 4G, NFC dan sebagainya akan muncul untuk menerangkan fungsi-fungsi yang ditawarkan padanya. Tidak ketinggalan, terma seperti 4G dan LTE turut diuar-uarkan sebagai salah satu fungsi yang ditawarkan pada sesetengah telefon pintar.

Secara ringkasnya, huruf “G” yang di dalam 4G membawa maksud “Generasi”. Ini kerana 4G merupakan generasi keempat di dalam perubahan teknologi data mudah alih menurut sektor radio Kesatuan International Telecommunication Union (ITU-R). Manakala LTE pula adalah singkatan untuk “Long Term Evolution” dan dirujuk secara amnya pada pembangunan kelajuan jalur lebar tanpa wayar untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Apa itu 3G?

Apabila rangkaian 3G mula dilaksanakan, ia telah menggantikan 2G. Protokol rangkaian yang ditawarkan oleh 2G adalah tahap rangkaian asas yang kini dianggap perlu ada pada mana-mana telefon pintar seperti fungsi membuat panggilan telefon, permesejan teks asas dan MMS.

Melalui pengenalan 3G, format data yang lebih besar dapat diakses termasuklah halaman HTML biasa, video dan muzik. Kelajuannya masih lagi dianggap sebagai perlahan, tetapi jauh lebih baik berbanding sambungan 2G yang digunakan sebelum itu.

Apa itu 4G?

ITU-R telah menetapkan piawaian sambungan 4G pada bulan Mac 2008. Bagi kegunaan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet, kelajuan sambungan yang perlu dipatuhi sekurang-kurangnya 100 MB/s dan untuk stesen pemancar pula perlu sekurang-kurangnya 1GB/s.

Sewaktu piawaian ini diumumkan, ramai yang tidak menyangka ianya boleh dicapai memandangkan kelajuan berkenaan pada kebiasannya digunakan oleh para pembangun teknologi. Namun, lama-kelamaan pembangunan teknologi sambungan mudah alih telah pun ada yang mampu mencapai apa yang telah ditetapkan oleh ITU-R sebagai 4G.

Apa itu LTE?

LTE membawa maksud “Long Term Evolution” . Ia tidak ditakrifkan sebagai teknologi kerana dan ia lebih merujuk kepada usaha ke arah 4G. Oleh itu, apabila telefon pintar anda memaparkan simbol 4G pada sambungannya, ia tidak semestinya mampu mencapai kelajuan yang telah ditetapkan oleh ITU-R.

Hal ini kerana pada peringkat awal pembangunan rangkaian 4G, tahap minima kelajuan 4G sebenar yang ditetapkan oleh ITU-R adalah sukar untuk dicapai. Sungguhpun syarikat-syarikat teknologi membuat pelaburan yang besar untuk membangunkan teknologi sambungan berkenaan.

Untuk itu, badan piawaian berkenaan telah bersetuju untuk membenarkan LTE dilabelkan sebagai 4G. Asalkan kelajuan yang ditawarkan jauh lebih baik dari sambungan 3G.

Oleh sebab itu, penyedia-penyedia rangkaian mula memasarkan rangkaian mereka sebagai 4G LTE tanpa perlu mematuhi syarat minima untuk mencapai tahap 4G yang sebenar.

Tambah mengelirukan lagi, terma LTE-A (Long Term Evolution Advanced) turut digunakan oleh sesetengah penyedia rangkaian untuk menyatakan tahap teknologi yang ditawarkan mereka kini semakin hampir mencapai tahap kelajuan 4G sebenar. Bezanya dari LTE biasa adalah, ianya lebih pantas dan lebih stabil.

Kelajuan

Jadi soalnya, adakah kita dapat merasai perbezaan kelajuan diantara 4G dan LTE? Mungkin tidak ada perbezaan diantara kedua-duanya melainkan anda tinggal di bandar-bandar utama yang berpenduduk ramai seperti Kuala Lumpur, Tanjung, Johor Bahru dan sebagainya.

Namun, melalui kehadiran LTE-A, kelajuan yang ditawarkan oleh teknologi rangkaian terkini ini merupakan sambungan rangkaian tanpa wayar terpantas yang mampu ditawarkan setakat ini.

Kesesuaian sambungan

Syarat sah rangkaian 4G memerlukan dua komponen; pertama, rangkaian yang menyokong kelajuan yang diperlukan dan yang kedua, peranti yang boleh bersambungan ke rangkaian serta memuat turun pada kelajuan yang telah ditetapkan.

Ini bermakna, jika anda memiliki telefon pintar yang dilengkapi sambungan 4G LTE, ia tidak menjadikan anda terus mampu memuat turun pada kelajuan 4G sekiranya rangkaian disekitarnya tidak menawarkan sokongan untuk sambungan berkenaan.

Langkah berikutnya

Pada masa ini, terdapat penyedia-penyedia rangkaian yang sedang giat mengusahakan sambungan jalur lebar mudah alih generasi kelima. Ringkasnya 5G. ITU-R juga sedang merangka draf untuk menetapkan piawaian yang perlu dipatuhi untuk ditakrifkan sebagai 5G.

Berdasarkan apa yang telah berlaku pada perkembangan teknologi 4G, berkemungkinan besar teknologi 5G ini akan hadir seawal tahun 2020. Atau mungkin lebih lewat lagi bergantung kepada tahap sejauh mana perkembangan teknologi jalur lebar tanpa wayar mencapai tahap kemajuannya.

Imej cover diperoleh dari Stock Photos

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

2 comments

  1. oh baru tahu…. terima kasih untuk info tersebut..
    Wan Syahida recently posted…Testimoni Vivix Untuk Masalah PCOSMy Profile

    • Terbaik……Shahrul Yusof…….kerana memberikan info yg baik dlm bahasa Malaysia utk lebih senang faham kepada org seperti sy yg agak kurang English nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge