Home / Mobile / Android / 6 Langkah Mudah untuk pastikan Telefon Pintar Android anda Selamat

6 Langkah Mudah untuk pastikan Telefon Pintar Android anda Selamat

Pandangan setiap orang mungkin berbeza berkenaan cara kita melindungi telefon pintar Android kita dari pelbagai jenis ancaman. Dari ancaman penyeluk saku sehinggalah ke malware, tiada peranti yang benar-benar dapat dilindungi sepenuhnya dari segala anasir-anasir jahat.

Penjenayah pada kebiasaannya akan sentiasa mencari sebarang cara untuk mendapatkan apa yang diinginkannya pada peranti Android mangsa. Walau secanggih mana tahap keselamatan yang diguna pakai pada peranti, lambat laun ianya akan dapat dipintas jua. Kalau tidak hari ini, mungkin sebulan nanti. Atau mungkin juga setahun kemudian.

Pun begitu, kita sendiri hendaklah berjaga-jaga di dalam hal ini. Ibaratnya seperti kita hendak bertawakkal ketika mengunci rumah. Tidaklah keluar dari garisan tawakkal jika dikuncikan pintu lebih dahulu sebelum keluar rumah, ditutupkan kandang ayam sebelum hari malam, dimasukkan kerbau ke kandang sebelum hari senja. Kerana menurut Sunatullah, dikuncikan rumah dahulu baru pencuri tertahan masuk, ditutupkan pintu kandang baru musang tak mencuri ayam.

Serupa juga halnya di dalam kita menjaga peranti Android kita dari dimanipulasikan oleh pihak tertentu. Oleh itu, kita boleh sekurang-kurangnya berusaha untuk menahan ancaman-ancaman tersebut melalui langkah-langkah seperti;

Kuncikan telefon pintar Android anda

Langkah ini nampak terlalu mudah dan mungkin semua orang tahu tentangnya. Namun, masih ramai lagi pengguna Android yang malas untuk menguncikan telefon pintar masing-masing dengan passcode. Mungkin, keperluan untuk memasukkan kata laluan setiap kali waktu membuka telefon pintar adalah sesuatu yang leceh pada sesetengah pengguna.

Namun, jika berlaku sesuatu pada peranti berkenaan seperti tercicir atau dicuri dan sebagainya, mungkin pada waktu itu anda akan mengetahui peri pentingnya meletakkan passcode pada telefon pintar Android anda. Cara untuk melakukan tetapan PIN pada Android adalah Settings > Security > Screen lock dan jika telefon pintar Android anda memiliki ciri keselamatan tambahan seperti pengimbas cap jari, anda boleh menetapkannya di sini.

Atau, anda juga boleh menggunakan fungsi Smart Lock yang membolehkan anda membuka kunci telefon pintar Android anda melalui cara pengecaman wajah.

Jejaki dan padamkan data telefon pintar anda dari jarak jauh

Katakanlah anda sudah menguncikan telefon pintar Android anda dengan PIN atau Smart Lock, tapi andainya ia ditakdirkan hilang, apakah yang perlu anda lakukan? Anda masih boleh berikhtiar dengan menggunakan Android Device Manager untuk menjejaki kedudukan peranti anda dan juga boleh memadamkan isi kandungannya sekali jika diperlukan. Itupun, kalau anda awal-awal lagi sudah menetapkan (enabled) fungsi-fungsi tersebut.

Pergi ke Settings > Google > Security, benarkan kedua-dua fungsi berikut: Remotely locate this device, dan Allow remote lock and erase.

Melalui tetapan ini, anda sekurang-kurangnya masih mempunyai harapan untuk menjejaki lokasi telefon pintar Android anda yang hilang atau dicuri itu (asalkan ia masih lagi mendapat sambungan internet dan baterinya masih lagi bertahan) dan boleh memadamkan segala isi kandungannya.

Pastikan tetapan Unknown Sources dilumpuhkan

Selain dari ancaman secara fizikal, telefon pintar Android anda turut terdedah dengan ancaman dari sudut perisian. Aplikasi-aplikasi yang dipasang dari sumber yang tidak disahkan berisiko mendedahkan telefon pintar anda dengan ancaman-ancaman seperti malware dan ransomware.

Setakat ini Google telah berjaya memastikan aplikasi-aplikasi yang terdapat pada Google Play adalah selamat dari ancaman malware. Namun, ia tidak dapat melindungi anda jika anda memasang aplikasi-aplikasi tertentu dari sumber pihak ketiga. Sama ada melalui stor aplikasi mahupun dari laman web.

Bagaimanapun, Android menyediakan tetapan yang boleh mencegah sebarang pemasangan aplikasi yang bukan dari Google Play. Caranya adalah dengan pergi pada Settings > Security, kemudian hidupkan toggle Unknown sources.

Benarkan Android mengimbas dan mengesahkan pemasangan Aplikasi anda

Sungguhpun Google sedaya upaya memantau isi kandungan aplikasi-aplikasi yang disediakan melalui Google Play, ada masanya sesetengah aplikasi hasad (malicious) terlepas dari pemantauan. Oleh itu, anda boleh membenarkan Android untuk melakukan imbasan terhadap aplikasi-aplikasi yang sudah dipasang secara berkala.

Caranya adalah dengan pergi pada Settings > Google > Security > Verify apps, kemudian hidupkan toggle Scan device for security threats setting. Sebaik sahaja anda membenarkannya, Android akan memantau aplikasi-aplikasi anda dan akan memaklumkan sekiranya berlaku sebarang insiden-insiden mendatangkan ancaman terhadap telefon pintar Android anda.

Memastikan telefon pintar anda sentiasa dikemaskini

Penggodam sentiasa mengubah strategi mereka untuk memintas ciri-ciri keselamatan Android. Atas sebab itu, Google sentiasa menyediakan kemaskini keselamatan supaya lompong-lompong keselamatan ini dapat diperbaiki dari masa ke semasa.

Anda boleh mencegah dengan sentiasa mengemaskini telefon pintar Android anda dengan pergi pada Settings > About phone > System updates untuk memeriksa versi kemaskini peranti anda dan juga untuk melakukan kemaskini secara manual.

Hidupkan fungsi Safe Browsing pada pelayar Chrome

Bukan aplikasi-aplikasi hasad sahaja yang mendatangkan ancaman buat telefon pintar Android anda. Laman-laman web juga turut sama mengundang pelbagai jenis ancaman jika kita kurang berhati-hati. Antara ancaman yang paling kerap berlaku sewaktu melayari web adalah ancaman phishing dan juga memuat turun dan memasang aplikasi ke dalam telefon pintar anda secara senyap-senyap.

Mujurlah sekarang ini Chrome untuk Android menyediakan mod “Safe Browsing” yang akan memberikan amaran sekiranya anda melayari laman-laman yang didapati mempunyai aktiviti-aktiviti yang meragukan. Amaran tersebut memberikan anda peluang untuk tidak melayari laman berkenaan dan seterusnya mencegah dari sebarang jangkitan dan anasir-anasir jahat.

Untuk menghidupkan fungsi “Safe Browsing” ini, buka pelayar anda dan pergi pada butang menu (ikon berbentuk tiga titik) pada sebelah kanan atas skrin. Kemudian, ketik pada Settings > Privacy, kemudian pastikan tetapan “Safe Browsing” telah ditandakan.

Kesimpulan

Segala apa pun yang kita kerjakan, termasuk hal mengunci dan mencegah ini, kita harus ingat bahawa kita tidak ada kekuasaan apa-apa pada kunci itu dan ianya hanyalah semata-mata ikhtiar. Konsepnya samalah juga dengan apabila kita menutup reban, takut ayam ditangkap musang, mengunci rumah disebabkan takut pencuri akan masuk dan mengikatkan kerbau sebab takut akan dilarikan orang.

Memetik kata-kata Buya Hamka di dalam kitab Tasawuf Modern (ISBN: 6028997986, 9786028997980);

“Memang diakui bahawa kunci pintu tak dapat menolak kadar, kunci kandang tak dapat menangkis nasib, melainkan dengan izin Allah jua. Tetapi tidaklah boleh kita terus saja lari kepada takdir, kalau ikhtiar belum sempurna.”

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

3 comments

  1. Info yang sangat bermanfaat..

  2. Opkosss! Semestinyahhh! XP
    Aku siap beli app avg premium lagi untuk protect android aku… huhuh X3

  3. terima kasih atas perkongsian yang berguna ne ^^

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge