Home / Komputer / 5 Perisian dan Perkhidmatan Pengubah Fail PDF ke Word Percuma terbaik

5 Perisian dan Perkhidmatan Pengubah Fail PDF ke Word Percuma terbaik

Dokumen-dokumen Portable Data File atau singkatannya PDF direka khusus untuk berkongsikan maklumat dalam rupa bentuk yang sama dengan salinan asal pada mana-mana peranti dan perisian. Namun, ia tidak direka untuk tujuan suntingan.

Untuk menyunting, meminda dan menyalin imej atau teks, mengubahkannya ke dalam bentuk dokumen Word merupakan cara yang paling mudah. Dari situ, pengguna dapat meminda melalui perisian-perisian suntingan teks seperti Microsoft Word atau LibreOffice Writer.

Bagaimanapun fail-fail PDF ini tidak semestinya boleh diubah kepada bentuk Word dengan sempurna, terutamanya apabila jenis font yang digunakan tidak terdapat pada PC dan juga apabila ia mengandungi terlalu banyak imej.

Buat masa ini, terdapat sebilangan perisian dan perkhidmatan atas talian yang menyediakan fungsi mengubah dokumen PDF ke Word secara percuma. Melaluinya, tugasan-tugasan anda berkaitan dokumen PDF dapat dipermudahkan dan berikut adalah sebahagian daripada perisian dan perkhidmatan mengubah dokumen PDF ke Word secara percuma;

Free Online OCR

Sebagaimana namanya diberi, perkhidmatan melalui aplikasi web ini menggunakan pengecaman abjad secara optikal untuk mengenal pasti teks-teks di dalam PDF. Ia juga boleh digunakan untuk mendapatkan teks-teks daripada dokumen yang diimbas dalam format imej seperti JPEG. Justeru, memudahkan anda menyalin dan meminda dokumen-dokumen yang diperoleh secara fizikal.

Free Online OCR hanya boleh mengubah satu fail sahaja dalam satu-satu masa dan saiz fail maksimum sehingga 5GB. Untuk menggunakannya, anda perlu memilih fail yang ingin diubah sama ada PDF atau JPEG, PDF, pilih bahasa, pilih jenis format (Microsoft Word, Excel,atau TXT), kemudian masukkan Captcha untuk memulakan proses penggubahan. Selepas beberapa minit, anda akan menerima pautan untuk memuat turun fail yang telah diubah itu.

Perkhidmatan atas talian ini juga mampu mengekalkan format dokumen yang asalnya mengikut kolum-kolum yang telah ditetapkan.

Cuma kekurangan pada Free Online OCR adalah kesukaran untuk mengecam teks-teks pada latar belakang berwarna. Namun, masalah ini masih boleh diatasi dengan melakukan sedikit pengubahsuaian pada dokumen yang sudah diubah kepada Word berkenaan.

Free File Converter

Perkhidmatan ini boleh dikatakan serba boleh yang boleh melakukan pengubahan selain dari fail PDF keWord. Apa yang kurangnya pada perkhidmatan ini adalah ia tidaklah begitu bagus untuk digunakan sebagai pengubah fail PDF kepada Word.

Teks-teks dari PDF masih boleh diubah, namun segala imej, format, pengatas, kolum dan font telah hilang setelah diubah. Jadinya, apabila fail-fail PDF berkenaan telah diubah kepada teks, anda mungkin memerlukan masa untuk melakukan pindaan agar dokumen tersebut tidak kelihatan janggal.

Nitro PDF to Word Converter

Terdapat dua versi untuk perisian ini – desktop untuk Windows dan versi atas talian. Hanya versi atas talian sahaja yang memberikan perkhidatan secara percuma. Anda boleh menggunakannya dengan memuat naik sebilangan fail dengan pelbagai pilihan untuk mengeksport ke format-format seperti Word, PowerPoint dan Excel. Pun begitu, perkhidamatan atas talian yang disediakan secara percuma ini ada kekurangannya yang tersendiri.

Antaranya, perisian yang sudah ditukarkan akan diemelkan kepada pengguna untuk dimuat turun. Serta, setiap pengguna hanya dihadkan untuk mengubah dokumen seperti PDF kepada Word sebanyak 5 buah fail sahaja untuk setiap bulan.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini masih lagi menawarkan sisi kebaikannya yang tersendiri apabila dokumen-dokumen yang telah diubahkan masih lagi mengekalkan beberapa ciri-ciri asal dokumen seperti format dan kolum. Apa yang tidak dapat dibawa masuk sewaktu proses mengubah adalah imej dari dokumen. Kekurangan kecil seperti lebihan jarak sengkang dan baris-baris masih boleh disunting secara manual oleh pengguna.

WPS PDF to Word Converter

Perisian ini merupakan buah tangan dari pembangun perisian pejabat percuma, WPS Office. Berbeza dengan perkhidmatan-perkhidmatan mengubah dokumen PDF ke Word yang diceritakan sebelum ini, perisian ini merupakan perisian dekstop. Justeru, menjadikan proses pengubahan dokumen melalui perisian ini lebih pantas berbanding perkhidmatan mengubah dokumen atas talian.

WPS PDF to Word Converter amat mudah digunakan, pengguna hanya perlu mengheret fail yang hendak diubah ke paparan utama perisian. pilih format mengeksport (pilihan merangkumi DOC, DOCX, dan RTF) seterusnya, klik ‘Start’.

Edisi percuma perisian ini hanya membenarkan pengubahan dokumen PDF sehingga 5 muka surat sahaja. Selebihnya pengguna perlu membayarnya pada harga US$29.95. Atau, pengguna boleh membahagi-bahagikan bilangan muka surat dokumen kepada setiap 5 muka surat melalui fungsi PDFSAM jika tidak berminat untuk menggunakan versi berbayar.

Dokumen yang telah diubah kepada Word mengekalkan ciri-ciri asalnya seperti format, kolum, baris, sengkang, gaya font, hinggakan imej-imej pada dokumen pun masih dikekalkan bersama-sama. Pada pendapat saya, perisian ini adalah yang terbaik untuk mengubah dokumen PDF kepada Word setakat ini.

UniPDF

Perisian dekstop Windows ini menawarkan fungsi mengubah dokumen PDF kepada Word yang lebih pantas berbanding perkhidmatan-perkhidmatan lain seumpamanya di atas talian. Bagaimanapun, versi percuma perisian UniPDF ini hanya membenarkan pengguna mengubah dokumen sehingga tiga muka surat sahaja. Selebihnya pengguna perlu membayar atau membahagi-bahagikan seperti perisian PDFsam.

UniPDF secara keseluruhannya mampu ‘menarik’ kandungan-kandungan asal dari dokumen termasuklah imej-imej. Namun, rupa bentuk formatnya tidaklah begitu menarik terutama sekali jika dokumen berkenaan mengandungi kolum. Malah, terdapat beberapa keadaan di mana sesetengah huruf hilang selepas diubah serta saiz font yang berbeza memerlukan pengguna perlu menghabiskan masa untuk menyuntingnya pada Word untuk menjadikannya lebih kemas.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge