Home / Mobile / Android / Xiaomi Mi 6 dilancarkan secara rasmi, tampilkan Snapdragon 835 dan dwi-kamera

Xiaomi Mi 6 dilancarkan secara rasmi, tampilkan Snapdragon 835 dan dwi-kamera

Xiaomi secara rasminya telah mendedahkan telefon pintar flagship terbarunya, Xiaomi Mi 6. Pewaris kesinambungan Mi 5 yang popular ini telah dikuasakan oleh chipset terbaru Qualcomm Snapdragon 835. Ia juga menampilkan ciri rekaan bentuk luaran yang hampir sama dengan Mi 5 dan cuma dibezakan pada bucu-bucunya yang melengkung.

Dari segi spesifikasi, Xiaomi Mi 6 turut hadir bersama-sama RAM 6GB LPDDR4 dan chipset Qualcomm Snapdragon 835. Selain itu, apa yang menarik pada output telefon pintar ini adalah ketiadaan jack audio 3.5mm yang menjadi kelaziman telefon pintar Android sebelum ini. Alasan ianya tidak disertakan bersama adalah disebabkan ia faktor reka bentuk luaran telefon pintar ini.

Xiaomi Mi 6 merupakan telefon pintar yang tahan percikan air berserta gegelang getah yang ditempatkan pada sekitar slot kad SIM. Bagaimanapun, ia tidak pula dinyatakan sebagai telefon pintar kalis air memandangkan Xiaomi masih belum menyatakan tahap penarafan IP yang diberikan padanya.

Sungguhpun pek bateri yang disertakan bersama telefon pintar ini boleh dianggap agak kecil pada telefon pintar flagship Android, 3,350mAh, pengoptimuman penggunaan kuasa melalui antara muka MIUI membolehkan Xiaomi Mi 6 mampu bertahan untuk digunakan sehari suntuk.

Untuk kamera pula, ia menampilkan tetapan dwi-kamera 12MP untuk kamera belakangnya dengan dua titik fokal yang berlainan. Secara asasnya, ia tidak jauh beza dengan ciri kamera yang ditawarkan oleh iPhone 7 Plus berserta 2x zoom optikal dan mod Potrait selain turut dilengkapi dengan Penstabil Imej Optikal (optical image stabilisation, OIS) 4-paksi untuk membolehkan imej pada kadar pencahayaan rendah dan objek yang sedang bergerak dapat ditangkap dengan lebih baik.

Telefon pintar Xiaomi ini akan hadir dengan tiga pilihan warna (putih, biru dan hitam), bersama-sama dua pilihan konfigurasi -RAM 6GB & storan 64GB pada harga 2499 Yuan (lebih kurang RM1,600) dan RAM 6GB & storan 128GB pada harga 2899 Yuan (lebih kurang RM1,860).

Turut diperkenalkan Mi 6 Ceramic Edition, yang menampilkan kerangka yang dibina dari seramik bersama-sama emas 18K yang ditempatkan pada gegelang kameranya. Edisi khas ini memiliki RAM 6GB dan storan 128GB storage pada harga 2999 Yuan (lebih kurang RM1,920).

Xiaomi Mi 6 akan hadir ke pasaran China bermula 28 April 2017 dan sehingga kini masih belum dinyatakan ia akan hadir ke pasaran antarabangsa.

Sumber berita diperoleh dari Phone Arena

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge