Home / Internet / Akses Internet di semua sekolah akan dipertingkatkan ke berkelajuan tinggi

Akses Internet di semua sekolah akan dipertingkatkan ke berkelajuan tinggi

Kementerian Pendidikan sedang menaik taraf tahap capaian Internet berkelajuan tinggi di sekolah untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi terkini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata daripada 10,000 buah sekolah di seluruh negara, sebanyak 6,000 buah sekolah terutama di kawasan bandar telah siap dinaik taraf pencapaian Internet berkelajuan tinggi.

“Sebanyak 4,000 buah sekolah lagi melibatkan kawasan luar bandar dan pedalaman sedang dinaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohammad Yusoff dan Pengarah Pelajaran Negeri Jaafar Ismail.

Mahdzir berkata kemudahan capaian Internet berkelajuan tinggi bukan sahaja memudahkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas tetapi juga untuk guru dan kakitangan sekolah melaksanakan tugas masing-masing.

Beliau berkata guru perlu menguasai teknologi terkini seiring dengan perkembangan pantas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khusus dalam bidang pendidikan.

Terdahulu semasa berucap, beliau meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti alumni sekolah agar lebih aktif dalam membantu kecemerlangan sekolah.

Beliau juga mahu PIBG dan NGO terlibat sama dalam menyambut perayaan Hari Guru supaya perayaan itu menjadi sambutan masyarakat bukan warga guru sahaja.

Pada majlis itu, bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Maher, Mohamad Fauzi Mamat dan bekas pengetua Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah. Ghazali Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kelantan 2017.

Sumber berita diperoleh dari Bernama, Imej cover diperoleh dari Dreamstime

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge