Home / Komputer / Apa itu Windows 10 S dan Apa yang membezakannya dengan Windows 10?

Apa itu Windows 10 S dan Apa yang membezakannya dengan Windows 10?

Microsoft baru sahaja melancarkan sistem operasi Windows 10 S, sebuah sistem operasi ringan yang dikhususkan pada peranti-peranti berspesifikasi rendah. Ia dijangkakan bakal dimuatkan pada sesetengah laptop dan desktop keluaran akan datang. Cuma, apakah yang membezakan di antara sistem operasi ini dengan Windows 10 Home atau Pro?

Windows 10 S merupakan sistem operasi Windows 10 versi lengkap yang direka untuk komputer berkos rendah dan juga untuk komputer desktop untuk kegunaan pembelajaran. Ia juga boleh dimuatkan pada komputer-komputer premium seperti laptop Microsoft Surface.

Menurut Microsoft, huruf “S” yang dimasukkan pada nama rasmi sistem operasi berkenaan tidak memberikan sebarang apa-apa makna pada. Cuma, apa Microsoft menyatakan Windows 10 S ini akan menerapkan konsep, ringkas, selamat dan kelajuan (simplicity, security and speed). Sistem operasi ini didakwa mampu melakukan boot 15 saat lebih pantas berbanding Windows 10 Pro walaupun kedua-duanya menggunakan spesifikasi peranti yang sama.

Apa yang membezakan Windows 10 S dengan Windows 10 Home atau Pro?

Perbezaan ketara diantara Windows 10 S dengan Windows 10 versi-versi lain adalah ianya hanya boleh menjalankan aplikasi-aplikasi yang dimuat turun dari Windows Store. Bagaimanapun, uniknya sistem operasi ini adalah ianya telah dilengkapi dengan sistem enkripsi BitLocker dari Microsoft yang membolehkan anda mengunci fail-fail anda dari dicuri. Sesuatu yang tidak terdapat pada sesetengah versi Windows 10 Home. Ia juga menerima kemaskini pada masa yang sama dengan kemaskini yang diterima oleh versi-versi Windows 10 yang lain.

Apa jenis aplikasi yang boleh digunakan pada Windows 10 S?

Apa sahaja yang dimuat turun dari Microsoft Windows Store boleh dijalankan tanpa sebarang masalah pada sistem operasi ini. Antara aplikasi-aplikasi yang kini tersedia untuk dimuat turun termasuklah Slack, Evernote, Netflix, Facebook dan Adobe Photoshop Elements.

Aplikasi apa yang tidak boleh dijalankan pada sistem operasi ini?

Sebarang aplikasi yang tidak terdapat di Windows Store pada masa ini tidak boleh dipasang atau dijalankan. Ini termasuklah aplikasi-aplikasi seperti Apple iTunes, pelayar Google Chrome dan perisian-perisian Adobe seperti Acrobat, Photoshop dan lain-lain produk Creative Suite. Senang cerita, perisian-perisian yang memerlukan cara pemasangan seperti pada Windows 7 dan yang terdahulu.

Boleh main game?

Ya dan tidak. Anda masih lagi boleh memainkan permainan yang dipasang melalui Windows Store seperti Forza Horizon 3, Gears of War 4, Call of Duty: Infinite Warfare dan kebanyakan permainan-permainan dari Microsoft Game Studio.

Bagaimanapun, anda tidak boleh memasang aplikasi-aplikasi klien permainan seperti Valve Steam, EA Origin dan Blizzard Battlenet untuk memainkan permainan-permainannya. Serta tidak boleh memasang permainan-permainan lain yang bukan diperoleh melalui Windows Store. Hal ini menyebabkan pilihan untuk mendapatkan permainan-permainan untuk Windows 10 S adalah agak terhad.

Apa jenis pelayar yang digunakannya?

Pelayar untuk Windows 10 S hanya terhad pada Microsoft Edge sahaja buat masa ini.Ini bergantung pada masa akan datang sama ada Firefox, Opera dan Google akan menyediakan pelayar masing-masing di Windows Store. Microsoft turut menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menghalang mana-mana penyedia pelayar untuk memasukkan pelayar-pelayar masing ke Windows Store.

Macam mana nak dapatkannya?

Windows 10 S hanya boleh didapati pada peranti-peranti baru dalam masa terdekat ini dan ia tidak boleh didapati secara berasingan untuk dipasang sendiri seperti pada sistem-sistem operasi Windows yang terdahulu.

Bila boleh dapat?

Antara komputer pertama yang hadir dengan sistem operasi ini adalah laptop Microsoft Surface terbaru yang bakal hadir ke pasaran Amerika Syarikat bermula 15 Jun ini dan dijangka bakal menemui pasaran global sekitar pertengahan tahun ini.

Harga laptop Windows 10 S?

Peranti-peranti yang menggunakan sistem operasi Windows 10 S bakal hadir di bawah jenama-jenama rakan perniagaan Microsoft seperti Acer, Asus, Dell, Fujitsu, HP, Samsung dan Toshiba. Ia akan dijual pada harga sekitar $189 (lebih kurang RM819) untuk pasaran Amerika Syarikat.

Adakah Windows 10 S boleh dinaik taraf?

Peranti-peranti Windows 10 S boleh dinaikkan taraf ke Windows 10 Pro dengan bayaran sekaligus $49 (lebih kurang RM211). Bagaimanapun, selepas dinaik taraf ke Windows 10 Pro, ia tidak boleh patah balik ke Windows 10 S.

Apa yang membezakan Window 10 S dengan Windows RT yang pernah muncul dulu?

Ini bukanlah kali pertama Microsoft menghasilkan sistem operasi yang ringan seperti ini. Sebelum ini Microsoft pernah menghasilkan Windows RT pada 2012 sebagai sebuah versi Windows 8 yang hanya boleh memasang aplikasi dari Windows Store sahaja.

Ia dijadikan sebegitu rupa disebabkan oleh penggunaan chip pemprosesan berasaskan ARM yang sama seperti yang digunakan pada telefon pintar dan tablet dan bukannya seperti kebiasaan pada komputer desktop dan laptop yang menggunakan x86. Atas sebab itu, Windows RT kurang mendapat sambutan di kalangan pengguna.

Bagaimanapun, Windows 10 S ini diberikan fungsi-fungsi yang terhad bukanlah disebabkan faktor penggunaan chip pemprosesan. Sebaliknya ia dijadikan begitu kerana faktor keutamaan pada ringkas, selamat dan kelajuan.

Adakah ia bakal berjaya pada satu masa nanti? Hanya masa yang akan menentukannya.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge