Home / Komputer / Cara gabungkan partition Windows 10 dengan Disk Management tanpa perlu format

Cara gabungkan partition Windows 10 dengan Disk Management tanpa perlu format

Sesetengah PC hadir dengan hard disk di dalamnya dibahagi-bahagikan kepada partition – satu untuk sistem operasi Windows dan yang selebihnya diperuntukkan untuk menyimpan data. Partition-partition ini sebenarnya boleh digabungkan menjadi sebuah partition tunggal.

PC yang hadir dengan tetapan berbilang partition partition ini mungkin memudahkan sesetengah pengguna yang bimbang kalau-kalau sesuatu terjadi pada sistem operasi PC, data pada partition lain masih lagi dapat diselamatkan. Juga, pengguna juga boleh melakukan format pada PC berkenaan tanpa mengganggu data-data pada partition selain dari partition sistem operasi.

Bagaimanapun, dengan Windows 10 pengguna tidak perlu lagi bimbang tentang hal ini kerana ia menawarkan fungsi “Reset this PC” yang mana ia akan mengembalikan komputer ke keadaan asal tanpa menghilangkan data-data peribadi pengguna walaupun ia ditempatkan pada partition yang sama.

Oleh itu, mungkin sesetengah pengguna merasakan pemacu storan PC tidak perlu lagi dibahagi-bahagikan kepada partition dan inginkan kesemua data ditempatkan pada satu partition sahaja di dalam sebuah hard disk.

Anda boleh melakukannya denga mudah melalui fungsi “Disk Management” tanpa perlu format PC berkenaan dan asalkan partition-partition berkenaan terletak di dalam sebuah hard disk yang sama. Anda boleh juga menggabungkan partition-partition dari hard disk-hard disk yang berlainan, namun caranya lebih rumit dan caranya akan diterangkan di dalam artikel yang lain.

Padamkan satu partition dan Kembangkan

Terlebih dahulu, anda perlu memadamkan satu dari partition-partition berkenaan. Jika PC anda itu jenis yang baru, satu partition mengandungi data-data berkaitan sistem operasi manakala sebuah partition lagi masih lagi kosong. Kita akan memadamkan partition yang kosong ini.

Jika di dalamnya sudah mengandungi fail-fail data, anda perlu memindahkannya keluar terlebih dahulu ke external hard disk atau pemacu flash USB. Ini kerana, apabila partition berkenaan dipadamkan, data-data di dalamnya akan hilang.

Apabila anda sudah bersedia, buka utiliti Disk Management. Caranya, pada Windows 10 atau 8.1, klik kanan pada butang Start dan pilih Disk Management. Pada Windows 7 pula, tekan kekunci Windows + R, taipkan “diskmgmt.msc” di dalam kotak dialog Run, kemudian tekan Enter.

Kenalpasti dua partition yang anda ingin gabungkan. Melalui contoh berikut, kita akan menggabungkan partition OS (C:) dengan partition DATA (D:).

Kedua-dua partition ini perlu berada di dalam sebuah hard disk yang sama. Jika kedua-duanya berada di dalam hard disk yang berasingan, penggabungan ini tidak dapat dilakukan. Juga, kedua-dua partition ini perlu diletakkan secara bersebelahan untuk memudahkan proses penggabungan.

Padamkan partition yang kedua dengan klik kanan padanya dan pilih “Delete Volume”. Harus diingat: Segala fail-fail di dalam partition berkenaan akan hilang apabila anda melakukan langkah ini!

Seterusnya, klik kanan pada partition yang anda ingin perbesarkan tersebut dan pilih “Enlarge Volume”.

Klik ‘Next’ pada tetingkap-tetingkap berikutnya dan pilih tetapan default untuk mendapatkan amaun ruangan maksimum yang ada. Ia akan dikembangkan dengan mengambil lebihan ruangan yang ada setelah partition yang satu lagi itu dipadamkan.

Itu sahaja langkahnya dan segala perubahan akan segera didapati tanpa perlu melakukan restart. Satu partition telah hilang, dan kini hanya sebuah partition sahaja yang wujud dengan ruang storan besar setelah penggabungan partition dilakukan.

Artikel ini diterjemah dan diubahsuai berdasarkan artikel dari How To Geek

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge