Home / Malaysia / Uber dan Grabcar kini sah di sisi Undang-Undang Malaysia

Uber dan Grabcar kini sah di sisi Undang-Undang Malaysia

Malaysia mencatatkan sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Grabcar dan Uber sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ itu menjadi kenyataan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Ini merupakan kali pertama penyedia e-hailing dikawal selia… bermaksud setiap pihak sedang memerhatikan kita sekarang. Setakat ini tiada (negara) mengawal selianya.

“Jadi bagaimana anda akan menguatkuasakannya? Perlu kawal selianya terlebih dahulu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan. Jadi, sejarah telah tercipta bagi Malaysia dan negara-negara lain sedang memerhatikan kita sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas menggulung kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Nancy berkata dengan kelulusan RUU itu, pemandu e-hailing di Semenanjung kini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala di Sabah dan Sarawak di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Kedua-dua RUU itu turut menetapkan segala syarat-syarat yang dikenakan kepada pemandu teksi, kini akan turut terpakai kepada pemandu kenderaan ‘e-hailing’ termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pengendali perkhidmatan berkenaan diberi tempoh sehingga setahun untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.

Beliau berkata dengan kelulusan RUU berkenaan, segala aduan berkenaan perkhidmatan ‘e-hailing’ sama ada daripada pengendali, pemandu atau pengguna perkhidmatan boleh dilaporkan kepada SPAD dan LPKP secara rasmi.

Terdahulu, semasa menggulung RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017, Nancy berkata pada masa ini tidak perlu diwujudkan satu tribunal untuk mengendalikan segala aduan pengendali perkhidmatan ‘e-hailing’ dan teksi, sepertimana dicadangkan dalam perbahasan oleh beberapa Anggota Parlimen.

“Penubuhan tribunal satu perkara yang tidak diperlukan sebab sudah wujud mekanisme sama (jabatan aduan SPAD),” katanya.

Sumber berita diperoleh dari Bernama

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

One comment

  1. Menarik info yang dikongsikan. Bermanfaat untuk semua.
    Ira recently posted…Vivix Shaklee Dari Penjelasan Ketua Saintis ShakleeMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge