Home / Komputer / Perbandingan di antara Linux dan Windows Server

Perbandingan di antara Linux dan Windows Server

Linux dan Microsoft Windows merupakan dua sistem pilihan utama untuk perkhidmatan web hosting. Linux merupakan perisian sumber terbuka menjadikannya lebih murah jika dibandingkan dengan Windows Server. Manakala Windows pula, ia sememangnya merupakan produk jualan Microsoft. Pada kebiasaannya, Windows Server menawarkan lebih sokongan berbanding pelayan Linux.

Kedua-dua sistem operasi untuk pelayan ini menawarkan kelebihannya masing-masing dan ianya bergantung dengan keperluan dan kesesuaian pengguna untuk menentukannya.

Kelebihan pelayan Linux berbanding Windows Server

Linux adalah sistem terbuka dan beberapa kelebihan utama yang ditawarkannya termasuklah;

Penjimatan kos. Oleh sebab ianya sistem terbuka dan boleh digunakan oleh orang ramai, kos yang pemasangan dan penyelenggaraannya adalah lebih murah. Pelanggan pada kebiasaannya hanya perlu membayar kos dari segi sokongan teknikal sahaja dan tidak perlu membayar kos untuk mendapatkan sistem operasi itu sendiri seperti Windows Server.

Akses aplikasi-aplikasi sumber terbuka. Sepertimana teknologi-teknologi lain, sesebuah aplikasi lebih cemerlang digunakan bersama-sama aplikasi yang mempunyai rekabentuk yang hampir sama. Oleh yang demikian, pelayan Linux boleh menggunakan mana-mana aplikasi sumber terbuka tanpa sebarang masalah. Sungguhpun begitu, pelayan Linux masih lagi boleh menggunakan aplikasi-aplikasi Windows, cuma pengguna perlu melakukan sedikit kerja pengubahsuaian untuk kesesuaian bagi membolehkan ianya digunakan.

Lebih boleh diharap. Sistem operasi Linux dan aplikasi-aplikasi sumber terbuka tidak menggunakan sumber yang terlalu besar dan disebabkan itu ia menjadikan sistem secara keseluruhannya lebih pantas dan jimat tenaga.

Lebih mudah untuk diubahsuai. Pelayan Linux dan perisian-perisiannya boleh diubahsuai dengan lebih mudah. Berbanding Windows, ubahsuai pada sistem tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Hanya melalui kemaskini yang diberikan sahaja Windows Server berkenaan berpeluang mendapat perubahan sistem.

OK. Itu untuk Linux. Sekarang kita tengok pada Windows Server pula.

Kelebihan Windows Server berbanding pelayan Linux

Sesetengah pihak mendakwa versi yang ditawarkan Windows Server setakat ini adalah lebih lasak (robust). Selain itu, Windows Server dibezakan dengan Linux berdasarkan ciri-ciri seperti;

Sokongan yang lebih baik. Oleh kerana pengguna perlu membayar untuk mendapatkan sistem ini, ia didatangkan bersama bantuan dan sokongan yang lebih komprehensif. Ia berbeza dengan Linux yang mana sesetengah pelanggan perlu mengeluarkan kos khidmat nasihat untuk mendapatkan bantuan teknikal dari pakar. Atau, untuk pengguna yang mahu lebih jimat, rujuk pada halaman forum komuniti. Itupun tengok juga jenis masalah yang macam mana.

Integrasi yang bagus dengan produk-produk Microsoft lain. Ini sangat penting terutamanya buat pelanggan yang banyak menggunakan Microsoft SQL dan Microsoft Access untuk sistem dan juga untuk pelanggan yang sudah biasa menggunakan perisian-perisian Microsoft.

Lebih kemas. Penampilan dan penggunaan Windows Server secara amnya tampak lebih kemas dan mudah difahami oleh kebanyakan pengguna yang selalu menggunakan sistem operasi dari Microsoft.

Remote Desktop Access. Untuk mengakses secara remote, pelanggan Windows Server boleh menggunakan Remote Desktop Access yang lebih mudah untuk digunakan kerana menawarkan antaramuka grafik. Pengguna Linux juga boleh mengakses secara remote, cuma cara aksesnya adalah menggunakan terminal sahaja dan tiada antara muka grafik disediakan.

Kesesuaian dengan ASP dan ASP.Net. Kedua-dua kerangka kerja ini hanya boleh digunakan pada Microsoft Server sahaja. Kelebihan menggunakan ASP.Net ini adalah ianya lebih mudah dipasang dan diselenggarakan.

Kesimpulan

Kedua-dua sistem untuk pelayan yang popular ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ia bergantung kepada keperluan dan keserasian sistem yang akan ditempatkan padanya. Jika anda terdapat sebarang pandangan atau cadangan yang menarik, sila nyatakan melalui ruangan komentar di bawah.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge