Home / Internet / Peniaga dalam Talian mohon Kembalikan PM Tepi

Peniaga dalam Talian mohon Kembalikan PM Tepi

Arahan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya penjual memaparkan lapan maklumat penting pada setiap produk yang diiklankan dianggap menjejaskan strategi peniaga dalam talian.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT), Amir Hakimin Che Razali, berkata pihaknya menerima banyak maklum balas daripada peniaga dalam talian di negeri itu yang kurang selesa dengan arahan berkenaan.

“Peniaga dalam talian yang kebanyakannya usahawan muda mengeluarkan kos tinggi dari segi kaedah pemasaran dan ada yang melabur dalam sistem.

“Ini termasuk sesi latihan pemasaran yang menjadikan amalan ‘PM tepi’ sebagai antara strategi pemasaran.

“Strategi `PM tepi’ memberi peluang usahawan mendapatkan maklumat pelanggan bagi memastikan produk dan perkhidmatan mereka menepati kehendak pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, strategi ‘PM jika berminat’ adalah platform terbaik peniaga dan pelanggan berkomunikasi secara dua hala untuk menerangkan berkenaan kualiti produk atau perkhidmatan ditawarkan.

Amir Hakimin berkata, ada peniaga mengambil produk dari luar negara, maka harga ditawarkan berubah mengikut kadar tukaran wang.

“Kaedah `PM tepi’ membolehkan pengguna beroleh harga terkini sesuatu produk,” katanya.

KPDNKK menetapkan antara maklumat perlu dipaparkan termasuk harga penuh barangan atau perkhidmatan termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran, nama penuh perniagaan dan individu yang menjalankan perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan, alamat penuh, nombor telefon dan emel perniagaan.

Turut perlu dinyatakan ialah maklumat penuh produk yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan diberikan, selain maklumat bayaran lengkap, terma dan syarat jual beli serta anggaran tempoh masa produk akan dihantar.

KPDNKK dalam akaun Facebook rasminya kelmarin, memberi amaran peniaga yang gagal berbuat demikian, boleh disabitkan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 145 iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Sumber berita dan imej diperoleh dari Berita Harian

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge