Home / Mobile / iOS / Apple dedahkan iPhone X, telefon pintar yang lain dari yang lain

Apple dedahkan iPhone X, telefon pintar yang lain dari yang lain

Apple sehingga kini masih lagi mengusahakan ‘definisi baru’ bagi telefon mudah alih sungguhpun pernah melakukannya dengan kemunculan iPhone sepuluh tahun dahulu. iPhone X menandakan detik bersejarah buat Apple dalam menentukan hala tuju industri telefon pintar.

Menampilkan rekaan paparan tanpa bezel yang terkini, iPhone X turut julung kalinya memperkenalkan penggunaan OLED untuk paparan iPhone. Penggunaan paparan Retina untuk iPhone model ini turut dipertingkatkan apabila ia menggunakan paparan Super Retina yang turut disertakan bersama teknologi HDR dan True Tone, menjadikannya di antara telefon pintar yang menawarkan paparan yang jelas dan cantik. Resolusi bagi telefon pintar ini adalah 2436 x 1125 dengan kadar ketumpatan piksel 458 ppi.

Ketiadaan butang ‘Home’, yang ikonik untuk semua jenis model iPhone terdahulu juga menjadi antara keunikan iPhone X. Bagi pengguna yang ingin kembali ke ‘Home’, apa yang perlu dilakukan hanyalah membuat gerak isyarat menyapu padanya.

Disebabkan oleh gerak isyarat mengebas ini, Apple telah menempatkan semula ‘Control Centre’. Ia kini ditempatkan pada bucu kanan atas skrin dan perlu menyapu ke bawah untuk membukanya. Lebih kurang sama seperti paparan notifikasi Android.

Selain itu, gerak isyarat menyapu baru turut diperkenalkan untuk fungsi kembali (back) dan juga untuk membuka tetingkap berbilang tugas (multi-tasking). Untuk kembali semula kepada app, pengguna perlu menyapu dari bahagian bawah sebelah kanan ke sebelah kiri dan bagi berbilang tugas pula, pengguna perlu menyapu ke atas dan pegang (hold).

Juga disebabkan ketiadaan butang ‘Home’, Touch ID tidak disediakan pada iPhone X. Apa yang menggantikannya adalah Face ID, dengan sokongan teknologi pengecaman wajah dari Apple. Sebuah kamera IR di bahagian hadapan iPhone X akan mencari wajah anda apabila anda mengangkatnya dan sebaik disahkan, satu sapuan dari bawah akan membawa anda ke paparan ‘Home’.

Apple turut mendakwa Face ID lebih selamat dari Touch ID. Melalui kemampuan enjin neural terbina dalamnya memproses pengecaman wajah di dalam masa nyata, kemungkinan untuk orang lain membuka iPhone anda menggunakan wajah adalah 1 di dalam 1,000,000. Bagi para pembangun, Face ID boleh dintegrasikan dengan lancar ke perkhidmatan pihak ketiga sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Touch ID.

iPhone X dikuasakan oleh chipset A11 Bionic yang terbaru, sama seperti yang terdapat pada iPhone 8. Ia merupakan chipset berteras enam, mengandungi dua teras berprestasi tinggi dan empat teras berkecekapan tenaga tinggi. Ia turut merangkumi GPU terbaru yang direka khusus oleh Apple.

Tidak ketinggalan, kamera iPhone X turut dipertingkatkan keupayaannya sungguhpun ia menggunakan dua kamera dengan penderia 12MP. Kamera bersudut luasnya telah menggunakan aperture f/1.8 dan untuk lensa tele foto pula menggunakan f/2.4 bagi membolehkan lebih banyak cahaya masuk. Paling penting, kedua-duanya memiliki penstabil imej optikal.

Kamera iPhone ini turut menyokong flash True Tone melalui penggunaan empat LED dan bagi perisiannya pula, mod Potrait Lighting yang baru turut diperkenalkan. Mod ini juga boleh digunakan untuk kamera 7MP pada sebelah hadapannya.

iPhone X menyokong Bluetooth 5.0 dan paling penting, menyokong pengecasan tanpa wayar dengan piawaian Qi (sama seperti iPhone). Bersama-sama sokongan pengecasan tanpa wayar ini, sebuah produk baru diperkenalkan – AirPower. Secara amnya, ia merupakan pad mengecas tanpa wayar yang besar bagi membolehkan lebih banyak peranti dicaskan secara serentak dalam satu-satu masa.

Sama seperti iPhone 8, iPhone X menawarkan dua pilihan storan – 64GB dan 256GB. iPhone X 64GB dijual pada harga pasaran $999 (lebih kurang RM4,200) dan untuk model 256GB pula, ia dijual pada harga $1,150 (lebih kurang RM4,840). Telefon pintar Apple ini mula dijual di Amerika Syarikat bermula 3 November 2017.

Maklumat lanjut mengenai iPhone X boleh didapati di sini

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge