Home / Mobile / Sejauh mana tahap kalis air telefon pintar anda? Fahami rating kerintangan air untuk peranti elektronik

Sejauh mana tahap kalis air telefon pintar anda? Fahami rating kerintangan air untuk peranti elektronik

Telefon pintar yang rintang air (water-resistant) tidak semestinya ianya adalah kalis air. Oleh yang demikian, kita perlu fahami tahap-tahap penarafan (rating) kerintangan bagi sesebuah telefon pintar itu terhadap air dan juga habuk. Tahap-tahap tersebut juga bergantung dengan apakah ciri perlindungan yang disediakan khusus untuk sesebuah model telefon pintar tersebut.

Kebanyakan telefon pintar, tablet, penjejak aktiviti (trackers), jam tangan pintar (smartwatch) dan juga sesetengah pembesar suara tanpa wayar mendapat penarafan sebagai peranti-peranti yang “rintang air”. Tapi apa yang dimaksudkan dengan rintang air (water resistant) ni? Adakah peranti masih berfungsi walaupun sudah basah kuyup terkena hujan? Atau juga boleh digunakan sewaktu tengah mandi di dalam bilik air? Tahap-tahap kerintangan air sesebuah peranti tidak sama dan untuk itu kita perlu perhalusi satu-persatu.

Penarafan IP (IP rating)

Pertama sekali kita perlu melihat pada Ingress Protection Rating (atau International Protection Rating) sesebuah peranti berkenaan. Ia juga sering dirujuk sebagai IP dan ini tidak boleh dikelirukan dengan IP untuk Internet Protocol. Biasanya ia ditulis sebagai – IP67 dan IP68 – untuk menandakan penarafan kerintangan air sesebuah peranti.

Kod-kod IP ini telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (International Electrotechnical Commission,IEC). Menurut Suruhanjaya berkenaan, kod-kod tersebut dibentuk sebagai sebuah sistem untuk mengklasifikasikan tahap-tahap perlindungan yang disediakan oleh bekas-bekas yang melindungi sesebuah peralatan elektrikal.

Nombor pertama di dalam kod penarafan tersebut menandakan tahap perlindungan dari kemasukan objek-objek luaran seperti habuk dan jari manusia. Tahap perlindungan bermula dari 0 sehingga 6.

Nombor kedua pula menunjukkan tahap perlindungan dari kelembapan dengan tahap perlindungan dari julat 0 hingga 8.

Kod IP dengan abjad “X” pada salah satu kedudukan nombor menandakan sesebuah peranti itu masih lagi belum diuji dengan kerintangan terhadap objek pepejal luaran (jika “X” pada nombor pertama) atau masih belum diuji dengan kerintangan air (jika “X” berada pada nombor kedua).

Misalnya, jika terdapat sebuah peranti dengan penarafan (rating) IPX7, ia masih lagi mampu bertahan jika terjatuh ke dalam air pada kedalaman 1 meter selama 30 minit tetapi masih belum lagi diuji dari segi kerintangannya terhadap habuk dan objek-objek pepejal luaran lain.

Berikut adalah jadual yang menggariskan tahap-tahap perlindungan yang telah ditetapkan oleh IEC.

Perlindungan Objek Pepejal Luaran

Kod IPPerlindunganSaiz Objek
0Tiada Perlindungan
1Perlindungan dari sentuhan dengan hampir semua jenis permukaan kulit seperti belakang tapak tangan. Tetapi tiada perlindungan dari sentuhan dari anggota badan lain seperti jari-jemariKurang dari 50mm
2Perlindungan dari jari-jemari atau objek-objek seumpamanyaKurang dari 12.5mm
3Perlindungan dari alatan, wayar-wayar tebal atau objek-objek seumpamanya Kurang dari 2.5mm
4Perlindungan dari kebanyakan jenis wayar, skru atau objek-objek seumpamanyaLess than 1mm
5Perlindungan sebahagian dari sentuhan dengan habuk-habuk merbahaya
6Perlindungan dari sentuhan dengan habuk-habuk merbahaya

Sebagai contoh, soket elektrikal yang diberi penarafan IP22 (keperluan minima yang biasa ditetapkan oleh peralatan-peralatan elektrik di dalam rumah) dilindungi dari boleh disentuh dengan jari dan tidak boleh dirosakkan oleh air yang dititiskan ke atasnya.

Untuk peranti-peranti seperti telefon pintar, kita perlu ambil perhatian terhadap penarafan lebih dari IP5X dan IP6X.

Perlindungan Kelembapan

Kod IPPerlindunganTempoh PengujianPenggunaan
0Tiada Perlindungan
1Perlindungan dari titisan air secara menegak10 minHujan renyai-renyai
2Perlindungan dari titisan air secara menegak apabila peranti dicondongkan pada sudut sehingga 15 darjah10 minHujan renyai-renyai
3Perlindungan dari semburan air secara langsung apabila peranti dicondongkan pada sudut sehingga 60 darjah5 minHujan dan semburan air
4Perlindungan dari semburan dan percikan air dari kesemua arah5 minHujan, semburan dan percikan air
5Perlindungan dari pancuran air bertekanan rendah dengan muncung berdiameter 6.3mm dari kesemua arah3 min dari jarak 3 meterHujan, percikan air dan pancuran air dari kebanyakan pili di sinki dapur atau bilik air
6Perlindungan dari pancuran air bertekanan tinggi dengan muncung berdiameter 12.5mm dari kesemua arah3 min dari jarak 3 meterHujan, percikan air, pancuran air dari kebanyakan pili di sinki dapur atau bilik air dan di luar seperti di dalam keadaan laut bergelora
7Perlindungan dari rendaman dalam air dengan kedalaman sehingga 1 meter dalam tempoh sehingga 30 minit30 minHujan, percikan air dan direndam secara tidak sengaja
8Perlindungan dari rendaman dalam air dengan kedalaman lebih dari 1 meter (pengeluar perlu nyatakan kedalaman sebenar)BergantungHujan, percikan air dan direndam secara tidak sengaja

Maksudnya?

 iPhone 8 dan iPhone 8 Plus telah ditauliahkan dengan penarafan IP67. Ini bermaksud, telefon pintar ini dilindungi sepenuhnya dari habuk (6) dan juga mampu bertahan apabila direndam di dalam air berkedalaman 1 meter sehingga 30 minit (7).

Selain itu, Samsung Galaxy S8 pula diberikan penarafan IP68. Ini bermakna Samsung Galaxy S8  mampu bertahan di dalam air yang tenang di dalam kedalaman tertentu pada tempoh-tempoh yang perlu dinyatakan oleh pengeluarnya iaitu 1.5 meter dalam tempoh sehingga 30 minit.

Tidak begitu rumit untuk difahami bukan?

Bagaimanapun, cara pengujian yang dilakukan pada peranti-peranti ini bukanlah dilakukan mengikut peringkat-peringkatnya. Misalnya, peranti yang mendapat penarafan IP67 tidak semestinya perlu melepasi tahap pengujian perlindungan objek luaran dari tahap 1 hingga 5 atau perlindungan kelembapan dari tahap 1 hingga 6.

Sebagai contoh, iPhone 8 tidak memasukkan penarafan IPX5 atau IPX6 untuk menjadikannya tahan dari pancuran air. Oleh yang demikian, pengguna iPhone 8 dinasihatkan supaya jangan menggunakannya sewaktu mandi atau menjirusnya dengan pili air. Tambahan pula, kerosakan disebabkan cecair tidak tersenarai di dalam waranti produk.

Lain ceritanya dengan Sony Xperia XZ yang mendapat penarafan IP65 dan IP68. Ini bermakna, Xperia XZ rintang pada habuk serta juga boleh dijirus dengan air pili dan boleh direndam di dalam air yang tenang berkedalaman 1.5 meter selama 30 minit.

Perkara yang perlu diambil kira

  • Kebanyakan pengujian dilakukan di dalam air tawar. Peranti-peranti berkenaan tidak dijamin mampu bertahan di dalam air laut. Melainkan pengeluar peranti berkenaan mendakwa sebaliknya.
  • Sungguhpun menjirus air ke atas peranti bertaraf IP adalah tidak digalakkan, peranti berkenaan tidak akan rosak jika pun anda terlupa untuk mematikannya. Bagaimanapun, peranti berkenaan boleh rosak jika dibiarkan dalam tempoh yang lebih lama dan peranti yang rosak disebabkan dimasuki cecair tidak termasuk dalam senarai waranti.
  • Kebanyakan pengujian dilakukan dalam suhu sekitar 15 hingga 35 darjah Celcius. Tempat-tempat bersuhu tinggi seperti sauna, kolam air panas dan hot tub misalnya boleh merosakkan peranti.
  • Pastikan kesemua labuhan-labuhan (port) ditutup sebelum merendamnya ke dalam air.
  • Elakkan dari menekan butang-butang pada peranti sewaktu ia berada di dalam air. Ini boleh menyebabkan air memasuki ke dalam kerangka dan seterusnya merosakkan peranti.
  • Pastikan peranti anda benar-benar kering sebelum mengecasnya.
  • Sentiasa merujuk pada laman web pengeluar sebelum anda membawa telefon pintar, tablet dan sebagainya ke bilik mandi atau ke dalam kolam renang.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge