Home / Teknologi / Keselamatan / Kesemua 3 billion akaun pengguna Yahoo telah digodam ketika insiden pencerobohan 2013 dahulu

Kesemua 3 billion akaun pengguna Yahoo telah digodam ketika insiden pencerobohan 2013 dahulu

Bagi anda yang memiliki akaun Yahoo sebelum Ogos 2013, besar kemungkinan akaun anda merupakan salah satu dari 3 billion akaun yang diceroboh ketika insiden pencerobohan data terbesar yang pernah berlaku pada ketika itu. Disebabkan itu jugalah, Verizon meletakkan harga belian yang lebih rendah ke atas aset Yahoo dari harga asal tawaran yang bernilai $350 juta.

Menurut Verizon – syarikat induk Yahoo – godaman besar-besaran melibatkan kesemua akaun-akaun pengguna Yahoo yang berjumlah lebih dari 3 billion. Jumlah keseluruhan akaun yang terkesan ini adalah jauh lebih besar dari apa yang pernah dilaporkan pada 2016 dahulu. Pada bulan Disember 2016, Yahoo mengeluarkan kenyataan bahawa lebih dari 1 billion akaun pengguna yang diceroboh kesan dari insiden tahun 2013 berkenaan.

Namun, siasatan lanjut terperinci dengan kerjasama Verizon, agensi penguatkuasaan, dan firma keselamatan siber telah berjaya menentukan tahap kebocoran yang diakibatkan oleh pencerobohan berkenaan.

Pada hari Selasa baru-baru ini, Yahoo menjelaskan bahawa kesemua data akaun pengguna Yahoo yang berjumlah lebih dari 3 billion telah diceroboh termasuk akaun-akaun berkaitan Yahoo lain seperti Tumblr, Yahoo Email, Flickr, dan Fantasy.

Tidak dapat dipastikan siapakah yang bertanggungjawab melakukan pencerobohan ini dan apa yang pasti, data-data yang dicuri ini dijual di dalam pasaran Dark Web. Bagaimanapun, pihak Yahoo yakin maklumat-maklumat berkaitan transaksi kewangan seperti kad-kad kredit masih lagi selamat dan hanya alamat emel, nama sebenar pengguna serta kata laluan sahaja yang terkesan.

Punca bagaimana data-data ini berjaya diceroboh adalah disebabkan penggunaan sistem perlindungan keselamatan yang ketinggalan zaman telah memudahkan sesebuah enkripsi tersebut dipecahkan. Menambahkan lagi masalah, pencerobohan data yang sebegini besar ini tidak dimaklumkan kepada pengguna-pengguna akaun pada peringkat awal lagi. Seterusnya, memudahkan penjenayah memanipulasi maklumat-maklumat yang terdapat pada akaun pengguna terbabit.

Yahoo, kini dikenali sebagai Oath selepas pengambilalihan dari Verizon, telah pun mengambil inisiatif mempertingkatkan tahap keselamatan data-data penggunanya. Antara langkah yang pernah diambil oleh pihak Yahoo dalam memperkasakan tahap keselamatannya adalah dengan mengarahkan pengguna-penggunanya menukarkan kata laluan masing-masing serta memansuhkan sistem keselamatannya yang lapuk.

Sumber berita dan Imej diperoleh dari Reuters

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge