Home / Teknologi / Bitcoin / Apa itu Bitcoin dan macam mana ada yang boleh jadi jutawan dengan Bitcoin?

Apa itu Bitcoin dan macam mana ada yang boleh jadi jutawan dengan Bitcoin?

Jarang-jarang teknologi yang baru muncul dibincangkan secara serius dikalangan netizen seperti mana membincangkan perihal Bitcoin ini. Matawang maya ini sentiasa menarik perhatian dan menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna internet sejak kemunculannya kepada umum lebih dari lima tahun yang sudah.

Cuma, sejak kebelakangan ini semakin ramai yang tertarik untuk mengetahui tentang Bitcoin ini. Itupun disebabkan oleh harganya yang mencanak naik di pasaran tukaran mata wang (forex) menjadikan mana-mana pihak yang menyimpannya sejak dari awal perkenalannya dahulu jutawan. Nilai 1 Bitcoin sekarang ini bersamaan dengan lebih dari $4000. (Sewaktu artikel ini ditulis, nilai 1 Bitcoin bersamaan dengan $4619 atau RM19488.36)

Tapi, macam mana boleh sampai jadi macam tu?

Apa itu Bitcoin?

Bitcoin adalah matawang digital yang dicipta pada tahun 2009 yang menggunakan teknologi terpencar (decentralised) untuk pembayaran selamat dan menyimpan wang tanpa melibatkan bank atau penama individu. Ia diumumkan melalui edaran emel sebagai satu cara untuk membebaskan penggunaan wang seperti mana bagaimana internet membebaskan penyebaran maklumat.

Bagaimana Bitcoin berfungsi?

Bitcoin berfungsi melalui sebuah lejar awam yang dikenali sebagai blockchain – yang memegang sesebuah rekod terpencar kesemua transaksi yang dikemaskini dan dipegang oleh kesemua pengguna di dalam rangkaian.

Untuk menghasilkan Bitcoin, pengguna perlu menjana blok-blok di dalam rangkaian. Setiap blok dihasilkan secara berkriptograf dengan memanfaatkan kuasa komputer pengguna dan menambahkannya ke dalam blockchain. Pengguna boleh mendapatkan hasilnya dengan mengekalkan sambungannya ke rangkaian.

Sistem di dalam Bitcoin sendiri akan mengehadkan berapa banyak jumlah Bitcoin yang boleh dihasilkan supaya nilainya tidak menjadi ‘cair’ (diluted, ceroi kata orang Utara). Amaun maksimum yang dibenarkan adalah kurang dari 21 juta Bitcoin sahaja. Setakat ini terdapat 15 juta Bitcoin dalam peredaran dengan setiap satunya bernilai $4619 atau RM19488.36 (sehingga artikel ini ditulis).

Apa yang memberikan kesan terhadap harganya?

Harga sesebuah Bitcoin ini ada naik dan turunya sejak ia mula diketahui oleh orang ramai pada tahun 2013. Pada tahun itu juga, harganya melonjak kepada 10,000 peratus sebelum penutupan Mt Gox – pusat penukaran Bitcoin atas talian terbesar – menyebabkan nilainya jatuh mendadak.

Namun, perlahan-lahan harganya kembali naik atas faktor kehadiran pengawal selia dari bank-bank pusat negara-negara tertentu. Sesetengah pihak yang skeptikal yakin bahawa kenaikan ini hanya seketika sahaja sebelum harganya akan kembali menjunam. Namun, bagi pihak yang optimis kenaikan ini menandakan Bitcoin akan terus kekal relevan.

Siapa dia Satoshi Nakamoto?

Satoshi Nakamoto adalah pencipta bitcoin dan blockchain yang penuh misterius. Sungguhpun banyak usaha yang telah dilakukan untuk mendedahkan siapakah dia sebenarnya, identiti sebenar beliau masih lagi belum diketahui.

Pada tahun 2014, majalah Newsweek cuba mendedahkan identiti beliau dengan memetik nama Dorian Nakamoto, seorang rakyat Amerika berketurunan Jepun berusia 64 tahun sebagai orangnya. Namun, kesudahan yang dipenuhi dengan adegan kejar mengejar menggunakan kereta ini tidak membuahkan hasil. Malah, Nakamoto yang sebenar turut menafikan segala tuduhan yang diketengahkan oleh majalah berkenaan.

Pakar Sains Komputer dari Australia, Craig Wright mendakwa dirinya adalah Satoshi Nakamoto yang sebenar

Tidak berapa lama dulu, muncul seorang ahli akademik warga Australia – Craig Wright yang mendakwa dirinya adalah pencipta Bitcoin sebenar. Beliau turut menulis blog, ditemu ramah oleh Wired, BBC dan Economist pada 2015 dan 2016 untuk memberitahu bahawa dialah pencipta Bitcoin yang real.

Lama-kelamaan, setelah gagal untuk mengemukakan bukti-bukti kukuh untuk menguatkan dakwaan beliau, Wright menulis permohonan maaf dengan menyatakan kononnya beliau masih tiada keberanian untuk mendedahkan bagaimana beliau menghasilkannya pada peringkat awal.

Berapa ramai yang menggunakan Bitcoin?

Pada masa ini, direkodkan terdapat sejumlah 5.8 juta pengguna yang memiliki dompet kriptowang menurut satu kajian oleh University of Cambridge.

Apakah kegunaan Bitcoin?

Banyak kegunaan Bitcoin ni sebenarnya. Antaranya termasuklah modal menubuhkan syarikat, pelaburan tunai dan memindahkan wang tanpa yuran pemindahan. Ia juga seringkali dikaitkan dengan aktiviti jenayah seperti pengedaran dadah, jenayah siber dan juga penggubahan wang haram. Hal ini disebabkan oleh kesukaran untuk mengaitkan antara dompet Bitcoin dengan seseorang individu.

Pun begitu, sesetengah negara sudah mula membenarkan penggunaan matawang digital ini untuk digunakan di dalam urusniaga harian. Di United Kingdom misalnya sudah terdapat perniagaan-perniagaan yang menerima pembayaran dengan Bitcoin dan ianya tidak terhad pada perniagaan atas talian sahaja.

Tidak semua pengguna yang berminat menggunakannya untuk berurus niaga. Ada sesetengahnya yang lebih suka menyimpannya dengan harapan nilainya akan meningkat mendadak pada masa hadapan. Ini boleh dilihat pada pengguna-pengguna awal yang melabur ketika nilainya masih rendah, kini sudah mula mendapat habuannya.

Tapi, ini semua tidak menjanjikan kesenangan dan kemewahan serta merta. Melabur di dalam Bitcoin lebih kurang sama risikonya dengan risiko pelaburan lain. Ada pasang surutnya yang jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan pengguna mendapat rugi besar.

Image Credits: The Guardian.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge