Home / Mobile / iOS / Budak 10 tahun nyahkunci iPhone X ibunya dengan wajah sendiri

Budak 10 tahun nyahkunci iPhone X ibunya dengan wajah sendiri

Apple Face ID boleh dinyahkunci dengan wajah anak sendiri.

Sistem keselamatan biometrik terkini dari Apple yang digunapakai pada iPhone X telah melalui pelbagai jenis pengujian oleh peminat-peminat Apple di serata dunia sejak ia pertama kali didedahkan kepada orang ramai. Sungguhpun teknologi pengecaman wajah ini dikatakan mampu menyediakan tahap keselamatan yang lebih canggih, sesetengah pengguna mendapati ianya boleh dipintas jika terdapat anggota keluarga yang memiliki wajah yang seiras.

Majalah teknologi, Wired melaporkan Ammar Malik, 10, telah berjaya menyahkunci iPhone X milik ibunya, Sana Sherwani dengan mengimbas wajahnya sendiri. Selain itu, Ammar juga berjaya menyahkunci peranti milik ayahnya melalui imbasan wajah sendiri.

Keluarga tersebut turut memaklumkan bahawa telefon pintar Sana telah dikonfigurasikan semula dengan mengimbas semula wajahnya dengan penataan cahaya yang lebih baik. Namun, sistem AI di dalam telefon pintar berkenaan telah melakukan pengubahsuaian pengecaman dan akhirnya, memberikan kembali akses kepada anak lelaki keluarga tersebut.

Masalah berkaitan Face ID ini mungkin tidak membahayakan jika sesebuah iPhone X itu dicuri. Namun, ia mendatangkan kebimbangan di kalangan ibu bapa yang tidak mahukan peranti mereka digunakan oleh anak-anak masing-masing tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.

Pihak Apple telah mengambil maklum berkenaan isu ini dan mengeluarkan kenyataan yang menyarankan ibu bapa yang bimbang tentang perkara ini supaya meletakkan kata laluan pada telefon pintar Apple yang menggunakan Face ID.

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge