Home / Mobile / Android / HTC U11+ hadir ke pasaran Malaysia dengan harga RM 3,099

HTC U11+ hadir ke pasaran Malaysia dengan harga RM 3,099

HTC U11+ kini secara rasminya telah tiba di pasaran Malaysia. Dijadualkan pada asalnya hadir sekitar bulan lepas, telefon pintar ini merupakan versi yang lebih besar dari HTC U11 pada saiz fizikalnya.

Melihat pada perkakasan, HTC U11+ tidak jauh bezanya dengan HTC U11. Antaranya termasuklah chipset Qualcomm Snapdragon 835, RAM 6GB, storan 128GB yang boleh diperbesar dengan kad mikro SD, bersama-sama kamera utama 12MP UltraPixel 3 yang mengkagumkan.

Apa yang membezakan HTC U11+ ini dengan U11 adalah pada paparan 6-inci 2880 x 1440 dengan kadar nisbah 18:9. Ia juga menawarkan bateri berkapasiti 3930 mAh berserta sistem operasi Android Oreo. Untuk pasaran Malaysia, telefon pintar ini hanya ditawarkan dalam variasi 128GB sahaja.

Selain itu, telefon pintar ini turut menawarkan antaramuka HTC Edge Sense, yang mana membolehkan pengguna memicit kedua-dua sisi telefon pintar HTC ini bagi mengaktifkan fungsinya. Menu yang boleh diubahsuai ini direka khusus untuk mempercepatkan akses ke fungsi-fungsi seperti kamera, tetapan segera dan aplikasi. Lebih kurang 22 fungsi dan aplikasi yang berbeza boleh dipetakan ke dalam menu HTC Edge Sense, manakala hanya enam sahaja tetapan segera yang boleh dipetakan ke dalamnya.

Menu ini juga boleh diakses dalam keadaan telefon pintar berkunci, membenarkan pengguna mendapatkan akses segera. Bagaimanapun, pengguna masih lagi perlu membuka kunci telefon pintar sebaik sahaja menu berkenaan membawa ke halaman lanjutan fungsi atau aplikasi berkenaan.

HTC hanya akan memasarkan HTC U11+ dengan pilihan warna Translucent Black sahaja, dan tiada sebarang perancangan bagi membawakan pilihan-pilihan warna lain bagi pasaran di Malaysia. Oh ya, sesuai dengan nama warna yang digunakan, kemasan kerangka telefon pintar ini lutcahaya dan komponen-komponen elektronik di dalamnya boleh dilihat dari luar.

Telefon pintar ini boleh didapati secara atas talian melalui Lazada, 11Street, dan Shopee bermula dari 15-21 Januari ini. Pra-tempahan atas talian bakal menerima cenderahati percuma berupa beg kulit, powerbank 8,000 mAh, kit kembara, buku nota, lanyard dan tungku telefon (phone stand).

Sumber berita diperoleh dari HTC Malaysia

About Shahrul Yusof

Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 8 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

CommentLuv badge